Pada 23.2.1899 Sister Prudence, Sister Angela dan Sister Cecile telah dihantar ke Taiping untuk membuka sebuah sekolah Inggeris (perempuan) di Klian Pauh, dengan seramai 75 orang murid dinamakan Klian Pauh Convent. Sister Euphraise yang berketurunan India telah memulakan pengajarannya dengan hanya 8 orang murid pada tahun 1900. Sekolah ini merupakan sekolah Tamil yang terunggul di Taiping. Beliau menjalankan kelas-kelas di sebuah bilik darjah di belakang bangunan Gereja St. Louis. Pada tahun 1903 murid bertambah kepada 26 orang murid.

Pada tahun 1921 bangunan bilik darjah ini telah diperbesarkan kepada dua bilik darjah untuk menjalankan kelas IV & V dan telah didaftarkan dibawah pentadbiran Jabatan Pendidikan. Pada tahun 1933 sebuah bangunan yang dapat memuatkan seramai 320 orang murid telah didirikan dengan kerjasama guru besar iaitu Rev. Mother St. Euphraise dan Perish Priest Father Olcomondy. Sister Mary Joseph telah menjawat jawatan Guru Besar pada tahun 1958 dan pada masa itu terdapat 11 orang guru yang mengajar di sekolah ini. Pada 1964 guru-guru lepasan Maktab Harian mula mengajar di sini. Pada tahun 1971 seramai 268 orang murid telah mendaftar dan belajar di sekolah ini.

Pada tahun 1983 Puan Salachey Raman telah menjadi Guru Besar di sekolah ini. Semasa pentadbiran beliau sekolah ini menjadi sekolah campur apabila murid lelaki dibenarkan berdaftar di sekolah ini. Setelah empat tahun murid-murid sekolah ini bertambah kepada 428 orang. Sekolah telah menghadapi masalah kekurangan bilik darjah dan sekolah telah mula beroperasi dalam dua sesi iaitu sesi pagi dan sesi petang. Guru Besar dengan kerjasama Ketua MIC Cawangan Taiping En.V.Raman PPN.PPT.AMN. telah berjumpa dengan Y.B. Dato Sri S.Samy Vellu ( Presiden MIC) merangkap Menteri Kerja Raya Malaysia dan menerangkan masalah sekolah ini. Apabila bilangan murid bertambah menjadi 716 orang masalah kekurangan bilik darjah dan tandas telah menyebabkan keadaan kawasan sekolah tidak kondusif.

Pada tahun 1988 YB. Dato Sri S.Samy Vellu telah melawat sekolah ini dan berjanji untuk membina satu bangunan tambahan dengan 12 buah bilik darjah. Pada tahun 1993 satu blok tandas dibina dengan kos RM20,000 dengan kerjasama dan bantuan dari pihak Bahagian MIC Taiping yang diketuai oleh En.V.Raman PPN,PPT,AMN. Pada tahun 1996 bangunan tambahan tiga tingkat dan 12 buah bilik darjah yang bernilai RM380,000 oleh Dato Seri S.Samy Vellu telah dimulakan. Bangunan siap dibina pada tahun 1998 dan mula digunakan. Sesi persekolahan telah bertukar dari dua sesi ke satu sesi. Puan Yogarani telah menjadi Guru Besar pada tahun 1998 dan telah bersara pada tahun 1999.

Pada tahun 1999 Puan P.Pushparani telah menjadi Guru Besar SJK(T) St. Theresa’s Convent. Di bawah kepimpinan beliau sekolah diberi Gred A pada tahun 2002. Bilangan murid telah bertambah kepada 761 orang pada tahun 2005. Pada tahun 2007 bilangan murid dan guru masing-masing meningkat kapada 784 dan 41 orang. Pada tahun 2008 jumlah murid sekolah ini adalah seramai 751 orang dengan jumlah guru dan staf sokongan seramai 42 orang.

Pada Tahun 2010 sekolah ini telah beroperasi dalam 2 sesi iaitu sesi pagi dan petang akibat pembinaan semula Blok C dengan bantuan Y.B. Dato Seri S.Samy Vellu ( Presiden MIC) dan Jabatan Pelajaran Perak. Perubahan sesi persekolahan ini menyebabkan bilangan murid sekolah ini merosot kepada 686 orang. Bilangan murid telah bertambah semula selepas bangunan baru siap dibina pada tahun 2011. Sekolah ini telah mengharungi pelbagai peningkatan dalam semua bidang terutamanya bidang akademik di bawah pimpinan Puan P.Pushparani. Pencapaian keputusan UPSR yang cemerlang dari tahun 2008-2010 sehingga sekolah ini menjadi Sekolah Pencapaian UPSR SJK(T) nombor 1 di Perak berturut-turut pada tahun 2009 dan 2010.

Sekolah ini mulai dipimpin oleh En.P.Sivarathnam PPT. dari tahun 2011 dengan jumlah murid 550 orang, 37 orang guru dan 6 orang kakitangan. Di bawah kepimpinan beliau, seramai 15 orang murid telah mencapai 7A dalam peperiksaan UPSR pada tahun 2012. Dari segi kemudahan sekolah ini telah mengalami perubahan drastik dalam tempoh 2010-2012. Hasil kerjasama guru-guru dan PIBG, bangunan tambahan empat tingkat telah siap dibina dan telah dirasmikan oleh YB Dato Seri Palanivel pada bulan Februari 2012. Disamping itu, dengan usaha PIBG sebuah dewan serbaguna telah dibina pada bulan Ogos 2012.

Pada bulan September pula sebuah makmal ICT telah siap dibina dengan kerjasama LPS, PIBG, kelab HYO, Maxis dan kerajaan Malaysia. Kantin sekolah juga telah diubahsuai dan kini mempunyai sebuah dewan makan dengan kemudahan hawa dingin. Selain daripada itu, kemudahan-kemudahan seperti bilik mesyuarat, bilik penolong kanan, bilik makan guru, bilik alat sukan, bilik rawatan, pintu gerbang dan pondok pengawal juga telah siap dibina pada tahun 2012. Pada tahun 2013, pihak sekolah dan PIBG telah membina gelanggang badminton dan bola tampar yang baru dan telah menyiapkan kerja-kerja pengubahsuaian pusat sumber sekolah serta memberi wajah yang baru kepada pusat sumber sekolah. Pada tahun 2016 pula dengan bantuan kewangan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia pihak Lembaga Pengelola Sekolah dibawah kepimpinan En.R.Ravendran telah Berjaya membina sebuah dewan terbuka dengan kapasiti muatan seramai 500 orang.

Pada 31.10.2017 En.Sivarathnam Ponniah PPT. telah bersara dan Pn.K.Puvaneswary mula kepimpinan beliau sebagai guru besar baru SJK(T) St Theresa’s Convent, Taiping. Pada tahun ini juga sebuah bilik galeri diwujudkan bagi mempamerkan segala kejayaan sekolah untuk tatapan para tetamu dan warga sekolah serta dirasmikan pada majlis persaraan mantan guru besar En.P.Sivarathnam. Dibawah pucuk kepimpinan Pn.K.Puvaneswary, sekolah mengalami beberapa perubahan yang mencorakkan wajah baru SJK(T) St. Theresa’s Convent. Sekolah telah diiktiraf sebagai sekolah Transformasi Pendidikan dibawah Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) Kohort 3 mulai tahun 2018 dan sedang menuju kearah pencapaian Sekolah Berprestasi Tinggi. Pada tahun 2018, kelas Prasekolah pertama telah mula beroperasi dengan bilangan murid seramai 25 orang. Pada tahun 2019 pula, sekolah telah mengenggam pencapaian peringkat antarabangsa yang pertama dan ini membawa kemegahan kepada seluruh warga sekolah.

Seterusnya, kelas Prasekolah yang kedua telah dimulakan dan jumlah bilangan terkini murid prasekolah ialah seramai 50 orang. Pada tahun 2019 buat julung kalinya, 3 orang murid daripada SJK(T) St. Theresa’s Convent mengharumkan nama sekolah dengan menyertai Pertandingan Inovasi Sains Peringkat Antarabangsa di Jakarta Indonesia serta memenangi Anugerah perak dan Anugerah khas inovasi terbaik. Pada tahun ini juga Pusat Sumber Sekolah telah memenangi Anugerah gangsa Ketiga) dalam Pertandingan Pusat Sumber Cemerlang Peringkat Negeri Perak dibawah kategori sekolah gred A. Pada tahun 2020 walaupun sesi persekolahan terpaksa ditangguh beberapa kali akibat daripada penyebaran Pandemik COVID 19, ia tidak menghalang murid-murid sekolah daripada menyertai lebih daripada 10 pertandingan di peringkat antarabangsa serta meraih 4 pingat emas dalam bidang inovasi sains.

Tahun 2020 juga membawa pelbagai perubahan kepada struktur bangunan sekolah dimana penyelenggaraan dan naiktaraf bangunan telah mendapat kelulusan dan dibuat bagi menampung kapasiti murid dan keselesaan warga sekolah. Antaranya adalah bangunan kantin sekolah, bilik guru, bilik penolong kanan, dewan makanan guru, bilik darjah PAK21, pagar sekolah dan susur gajah. Pada tahun 2021, kelas DLP telah dimulakan bagi tahun satu dengan bilangan murid seramai 21 orang sebagai usaha menarik minat ibubapa dan murid ke arah SJK(T) ST Theresa’s Convent. Program DLP telah diteruskan dan Sekolah telah mohon untuk perluasan kelas DLP bagi tahun 2024. Sekolah juga mendapat kelulusan untuk memulakan kelas PPKI (Program Pendidikan Khas Integrasi) mulai March 2021 dan mendapat sambutan ibubapa dan sekarang sedang beroperasi dengan 2 Kelas PPKI serta bilangan murid seramai 13 orang. Dengan ini, diharapkan coretan sejarah SJK(T) St. Theresa’s Convent akan diteruskan dengan pencapaian yang lebih cemerlang dan gemilang pada masa akan datang di bawah pucuk kepimpinan Guru Besar Pn. K. Puvaneswary sehingga sekarang.